Selasa, 21 April 2009

Aku Mahu Jadi Kaya

Manusia sering mengeluh apabila diuji Allah s.w.t dengan kesakitan, kegawatan, kekecewaan, kemiskinan dan kefaqiran. Tetapi manusia tidak pernah gelisah apabila diuji dengan kekayaan, kebahagiaan, kecukupan dan kemewahan dalam kehidupan.

Menjadi kaya adalah impian hidup semua manusia. Manusia seolah-olahnya saling bertarung untuk menjadi kaya. Kekayaan bagaikan nyawa untuk menyambung sebuah kehidupan. Hari ini jika hidup tidak berduit bagaikan hidup tidak berkaki. Indikator kepada kebahagian hidup dinilai berdasarkan kepada sejauh mana harta kekayaan yang dimiliki.

Kekayaan bagaikan ‘Tuhan’. Mereka yang memiliki kekayaan harta akan dipuja dan yang miskin pula akan dihina. Mereka dijadikan tempat bergantung harap manusia kepadanya. Bagi yang kaya mereka merasakan dunia ini bagaikan ‘ana yang punya’.. Demi sebuah kekayaan, halal haram bukan lagi sempadan. Kerana kekayaan manusia telah lupa siapakah sebenarnya tuhan mereka. Demikianlah kekayaan yang telah diisitidrajkan oleh Allah s.w.t terhadap mereka.

Waspada
Kaya adalah ujian dan miskin juga adalah ujian, dan kedua-duanya bakal mendapat balasan berdasarkan kepada ujian tersebut. Namun yang kaya lebih banyak diuji jika hendak dibandingkan dengan mereka yang miskin, sebanyak mana harta yang dimiliki maka sebanyak itu jugalah penditailan hisab daripada Allah s.w.t ke atas mereka. Berbahagialah bagi mereka yang miskin kelak mereka terlebih dahulu dimasukkan ke dalam syurga kerana singkatnya tempoh hisab mereka. Nabi Muhammad s.a.w pernah berdoa agar digolongkan oleh Allah s.w.t ke dalam kelompok mereka yang miskin.

Kekayaan bukanlah suatu yang hina, malah Allah s.w.t menuntut supaya hambanya berusaha untuk menjadi kaya. Saya dan anda semua berpotensi untuk jadi kaya jika diizinkan tuhan kita, Namun perlu berwaspada, kerana dengan kekayaan tersebut ianya bakal mengundang fitnah dan murka Allah s.w.t jika ianya tidak diasaskan di atas paksi membangunkan iman sebelum membina kekayaan.

Perhatikanlah kepada maksud firman Allah s.w.t yang telah menyarankan kepada hambanya supaya berusaha mencari kekayaan hidup “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”-jumuah 10

Ibrah dari kisah mereka
Di zaman Rasulullah s.a.w ada seorang sahabat yang bernama Sa’labah bin Hatib yang hidupnya sangat miskin namun kuat beribadah kepada Allah s.w.t. Suatu hari beliau meminta kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya mendoakanya agar menjadi kaya. Lalu dimakbulkan Allah s.w.t dengan menjadikanya seorang penternak kambing yang berjaya. Namun malang sekali dengan kesenangan tersebut telah membuatkanya manjadi lupa akan Tuhan dan Rasulnya. Perhatikan sama kepada kisah hidup Qarun laknatullah alaihi kerana padanya juga ada ibrah berguna yang boleh dipelajari.

Sebenarnya ramai daripada kalangan salafunassoleh yang kaya raya, namun mereka tidak mendapat murka Allah s.w.t dengan kekayaan tersebut bahkan pula disanjungi dan perlu untuk diteladani. Sebagai contoh hartawan di Zaman Rasulullah s.a.w Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Abd Rahman bin Auf, Sayyidina Uthman bin Affan, Sayyidina Anas bin Malik. Kajilah sejarah hidup mereka. Ke arah manakah dimanfaatkan harta kekayaan mereka?

"Umar Abdul Aziz telah memilih untuk hidup miskin
yang sebelumnya beliau adalah seorang yang kaya dek kerana runsing
jika kekayaan tersebut bakal menghalang urusan agamanya"


Agamawan yang tumpas dengan ujian kekayaan.
Inilah sebenarnya yang merunsingkan saya. Ramai daripada kalangan yang mendapat pendidikan agama di alam pengajiannya tetapi tewas apabila diuji dengan kemewahan hidup ketika di alam pekerjaan mereka. Sama ada gagal apabila diuji dengan kesempitan hidup atau lali dibius dengan kekayaan dan kemewahan hidup. Lalu urusan perjuangan dikesampingkan. Fenomena lama yang menghantui ustaz ustazah. Saya juga berisiko untuk terlibat sama. Doakan saya.

Islam tidak pernah menghalang untuk mencari kemewahan hidup. Namun jangan pula kemewahan hidup menjadi penghalang kepada urusan perjuangan. Bekalkanlah iman anda secukup-cukupnya jika anda bercita-cita untuk menjadi kaya. Umar Abdul Aziz telah memilih untuk hidup miskin yang sebelumnya beliau adalah seorang yang kaya dek kerana runsing jika kekayaan tersebut bakal menghalang urusan agamanya.

Mudah-mudahan kita semua akan dikayakan oleh Allah s.w.t dengan ilmu, akhlak, adab dan harta, Kekayaan yang mengundang redha bukanya murka dari Tuhan kita.

0 ulasan: