Jumaat, 1 Mei 2009

Sufi Yang Memimpin

Dalam agama Islam kesemua mereka yang mengaku beriman merupakan pemimpin. Tidak kira walau dalam apa jua institusi yang dibarisi oleh mereka. Samada kekeluargaan, pentadbiran, kemasyarakatan, Negeri dan Negara. Sehinggakan untuk diri sendiri yang tidak melibatkan orang lain pun jua dinamakan sebagai pemimpin, memimpin diri dengan arahan iman serta mengawal diri daripada godaan nafsu dan syaitan.

Sementelahanlah bagi manusia yang memimpin manusia yang lain, lebih-lebih lagi bagi institusi besar yang melibatkan manusia yang ramai. Tiada lagi jalan keluar untuk kita. Maka setiap daripada apa yang mereka pimpin akan disoal siasat dan diperhalusi oleh Allah s.w.t satu persatu.Hal ini dibenarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sabdaanya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu semua bertanggung jawab di atas apa yang telah kamu pimpin".

Jawatan adalah taklifan bukan pentasyrifan. Bukan tempat untuk mencari kemasyhuran dan kemegahan. Ramai daripada kalangan ulama sufi yang mengelak daripada ditaklifkan manusia atau menerima jawatan semasa hidup di dunia.Terutama kalangan ulama sufi yang lahir dari madrasah al Hijjaz (Makah dan Madinah) dan al Kuffah (Iraq). Ramai tokoh ulama sufi masyhur yang telah lahir daipada institusi ini antaranya ialah Abdullah b Umar, Abu Said al Khudri, Abu Dzar al Ghifari dan Said bin Jubair. mereka semua adalah dari kalangan Sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Langkah waspada yang telah dipilih oleh mereka adalah kerana takut tenggelam dengan kehidupan dunia langsung terlupa akhirat yang diimpikan mereka. Diceritakan bahawa Sufian b Uyainah dengan kewara'kan dan kezuhudanya suatu ketika pernah melarikan diri daripada dilantik menjadi hakim

Namun jangan kita lupa, ulama sufi yang lahir daripada madrasah Mesir pula telah memilih untuk menerima jawatan atau taklifan sebagai manhaj kesufian mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Antara mereka yang lahir daripada madrasah ini ialah Abdullah bin Amru bin al A'sr Sahabat Nabi Muhammad s.a.w, manakala daripada kalangan tabiin pula ialah Imam Allais bin Saad, Salim bin Atar Attajibi dan Abdul Rahman bin Hujairah. Diceritakan bahawa Iman Salim bin Atar dan dan Abdul Rahman bin Hujairah pernah dilantik menjadi Qadhi Negara Mesir.

Sufi mengikut takrif yang telah disebutkan oleh ulama ialah 'banyak melakukan ibadah, zahid dalam kehidupan dunianya dan haloba untuk kehidupan akhiratnya'. Jelas daripada kedua-dua kelompok ulama sufi yang telah disebutkan tadi mereka tidak tersasar daripada takrifan tersebut. Cuma, mungkin perbezaan Ittijah atau arah haluan yang berlaku diantara mereka adalah kerana latar belakang, persekitaran dan keperluan semasa hidup masing-masing.

Kepimpinan silih berganti seiring usia bumi yang semakin tua bergerak berlalu pergi. Namun, realiti yang berlaku pada hari ini dunia bagaikan ketandusan kepimpinan dari kalangan ulama yang sifatnya adalah sufi yang haraki, pula profesioanal. Memiliki ilmu yang luas, sufi dan zahid hidup dunianya serta mampu menggerakkan ummah ke arah pengabadin yang total kepada Khaliqnya. Bekerja siang dan malam serta mewakafkan diri dan segala yang dimiliki demi untuk Islam. Merekalah sebenarnya ulama yang layak untuk disifatkan sebagai mata rantai yang menyambung tugas-tugas perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

"Umar al faruq r.a antara contoh praktikal yang telah menjadikan sufi haraki sebagai pakaian kehidupannya. Masyhur sebagai seorang yang menjadi 'abid dimalam harinya dan singa pula disiang harinya. Tokoh pemimpin sufi yang sangat berjaya dengan kepimpinanya"

Jika dilihat kepada senario tuntutan dan keperluan semasa pada hari ini, sufi dengan memilih jalan uzlah memencilkan diri dari kancah masyarakat yang penuh dengan kebobrokan adalah suatu kefahaman yang silap. Walhal, yang sepatutnya adalah menggabungkan diri dalam kelompok ulama penggerak bagi sama-sama gembleng tenaga dan upaya mengislah masyarakat dan ummah. Tahap kesufian yang dimiliki perlu digerakkan seiringan dengan kerja-kerja amal Islami. Nabi Muhammad s.a.w adalah tokoh sufi yang paling ideal. Namun Nabi Muhammad s.a.w juga adalah tokoh daie yang paling kuat bergelumang dengan masayarakat. Diriwayatkan tiada lorong di kota Makkah yang tidak pernah dimasuki oleh Nabi Muhammad s.a.w. Pernah berlaku, suatu hari baginda pulang daripada melakukan tugas dakwah dalam keadaan pasir penuh bertaburan di atas kepala Nabi Muhammad s.a.w, lalu hal keadaan tersebut ditangisi oleh anak Baginda Siti Fatimah Azzahra'. Baginda memilih jalan inclussive bukan exclusive dalam mengasimilasikan tahap kesufian yang dimiliki oleh baginda.

Umar al faruq r.a antara contoh praktikal yang telah menjadikan sufi haraki sebagai pakaian kehidupannya. Masyhur sebagai seorang yang menjadi 'abid dimalam harinya dan singa pula disiang harinya. Tokoh pemimpin sufi yang sangat berjaya dengan kepimpinanya.

Al-Imam Abdullah bin al Mubarak pernah menulis surat kepada sahabatnya Fudhoil bin I'yad yang beriktikaf di Makkah dengan meninggalkan tugas jihad: "Wahai saudara yang sedang beribadat di tanah suci, kalau saudara melihat kami, nescaya saudara akan ketahui Saudara sebenarnya hanya bermain dengan ibadat. Siapa yang pipinya berlumuran air dengan mata ,maka leher kami berlumuran dengan darah. Kalau kudamu penat di dalam kebatilan maka kuda kami penat di medan perang"

Hari ini, untuk mencari mereka yang berpendidikan tinggi dengan pencapaian akademi yang cemerlang bukanlah suatu perkara yang payah. Bahkan berlambak. Namun, pula untuk mendapati kalangan ilmuan yang punya tahap kesedaran tinggi dan memiliki daya pengislahan yang mantap agak sedikit bilanganya. Satu cabaran dan tamparan. Justeru binalah kecemerlangan akademik anda dan pugarkan nilai kesufian anda. Kerana kedua-duanya sangat mustahak untuk masa depan kepimpinan anda.

Sufi Haraki. Tuntutan dan keperluan, dulu kini dan selamanya. Mobilisasi yang perlu digerak dan disahut oleh saya dan anda semua. Persiaplah diri. Janji kejayaan dunia akhirat telah tersedia buat kita.

0 ulasan: