Sabtu, 2 Mei 2009

Ujian Yang Tidak Berfasal


Kejadian curi yang berlaku sehari dua ini agak gege kecoh juga diperkatakan. Tangan ku terasa gatal-gatal pulak untuk membekaskan sesuatu tentang hal ini.

Walaupun naluri ku agak malas sebenarnya…

X per, kita bercerita sambil2 santai je.

Apa…?

Kes curi,
Kes pertama….kecurian, atau kita namakan kes pecah rumah pun boleh gak, kerana pencuri masuk rumah melalui jendela bahagian dapur rumah. Berlaku kepada kawan kita di Seberbay. Dua tiga orang gak sesame ahli bait yang menjadi mangsa. Barangan yang hilang pulak ialah sebuah Komputer bimbit, sebuah Kameral digital dan dompet duit.

Dua tiga hari sebelum tu mangsa dah menjadi mangsa kali yang pertama..yang hilang tika tu handset. Maka, dua kalilah jadi mangsa kecurian. Besar ujian untuk beliau..moga mangsa tabah inAllah ada hikmah agung disebaliknya.

Anggaran jumlah kesemua yang hilang katanya empat ribu lebih jugak….

Kes kedua…..berlaku sekitar dua bulan lebih awal daripada kes yang pertama tadi.
Ku nyatakan sekali di sini, kerana rasanya ada persamaan ckit2 dengan kes yang pertama tadi.

Barangan yang hilang ialah sebuah komputer bimbit gak, tapi yang ni mungkin lebih menyayatkan rasanya, kerana saudara kita yang menjadi mangsa tu baru sampai sehari kat Mesir ni, sekembalinya bercuti dari Malaysia bersama dengan sebuah Laptop yang baru dibeli..Zalim betul pencuri ni.

Masuk rumah tanpa disedari, tapi boleh disyaki…mangsa cenderung mengatakan Arab yang masuk mengambiknya.

Kes yang ketiga lak….belum hilang lagi, rumah dimasuki Arab..tapi hal penceritaanya percubaan untuk dicuri jugak. Nasib baik sedikit awal ahli bait menyedarinya.

Ha, yang ni berlaku kepada saudari pelajar perubatan thn satu, walaupun x sempat ambik tp telah membakar darah kejantanan ku..Huh, nasib baik2. hehe.

Kes yang keempat….curi jugak..
panas2 lg daku dikhabari tentang nya. Dompet dicuri pencuri yang tidak diketahui juga siapakah gerangannya. Sama dengan kes2 yang diatas, hilang dekat umah.dan khabarnya lesap ratusan L.E juga.

Mengapa?

Mengapa kita yang menjadi mangsa?

Adakah kita dijadikan mangsa kerana kita dilihat oleh pencuri sebagai warga yang kaya?

Adakah kerana security kita yang memang lemah, mudah dilolosi pencuri?

Adakah kerana sikap kita yang lembut dan dilihat lemah, sesuai pada hemat pencuri untuk dijadikan sebagai mangsa?

Bagaimana tindakan kita semua?

Sarananku..

1. Mustahak untuk kita menyembunyikan kekayaan dan kemewahan yang dimiliki dari pandangan mata awam.

2. Jangan bermudah2 membenarkan Arab memasuki rumah kita, apatah lagi menggatal ajak masuk rumah kalau tidak terlebih awal diusul pereksa. Abang2 lama kata Arab yg biasa2 ni jangan mudah dipercaya.

3. Tegas jangan terlalu berlembut. Sebab itu kaedah muamalat dengan mereka. Jangan mudah kita meng'aiwah' kalam mereka. Bila didesak dengan masyi, masyi? oleh mereka. Maka kita pun masyi jugaklah. Padahal x faham apa yang dimasyikan, tahu2 dah kena dua tiga ratus kat depa…sengeh sajo lah kito.

4. Mengambil langkah beringat dan waspada, terutama kepada kekawan yg duduk di Seberbay. Tengok edaran pekeliling daripada persatuan yang telah dipekelilingkan.

Pedoman buat diri, mangsa curi dan semua pembaca.


Kes2 yg seumpama tadi adalah ujian kepada kita. Ulama menyebut ujian ni berlaku dlm beberapa keadaan:

1.Ujian manusia kepada manusia. Contoh peperiksaan, perlawanan, pertandingan dan yang seangkatan dengan nya. Diuji untuk mengetahui siapa menang dan siapa kalah. Siapa kuat dan siapa lemah

2. Ujian daripada Allah s.w.t terhadap hamba2Nya. Samada untuk membalas dan menghina mangsa atau untuk diangkat darjat dan memuliakan mangsa.

Membalas manusia yang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Namun jika mendapat balasan Allah s.w.t di bumi ni menjadi kifarah pula kepada dosa2 mereka.

Manakala ujian Allah s.w.t untuk memuliakan atau mengangkat darjat pula. Sebagaimana Allah s.w.t menguji para hambanya dari kalangan Nabi, Sahabat, Syuhadah dan para Solihin.

Semoga kita semua dari kalangan hamba2 yang berjaya bila diuji oleh tuhan kita. Jika tidak, sedari awal2 lg kita minta jauh denganNya.

Jumaat, 1 Mei 2009

Sufi Yang Memimpin

Dalam agama Islam kesemua mereka yang mengaku beriman merupakan pemimpin. Tidak kira walau dalam apa jua institusi yang dibarisi oleh mereka. Samada kekeluargaan, pentadbiran, kemasyarakatan, Negeri dan Negara. Sehinggakan untuk diri sendiri yang tidak melibatkan orang lain pun jua dinamakan sebagai pemimpin, memimpin diri dengan arahan iman serta mengawal diri daripada godaan nafsu dan syaitan.

Sementelahanlah bagi manusia yang memimpin manusia yang lain, lebih-lebih lagi bagi institusi besar yang melibatkan manusia yang ramai. Tiada lagi jalan keluar untuk kita. Maka setiap daripada apa yang mereka pimpin akan disoal siasat dan diperhalusi oleh Allah s.w.t satu persatu.Hal ini dibenarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sabdaanya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu semua bertanggung jawab di atas apa yang telah kamu pimpin".

Jawatan adalah taklifan bukan pentasyrifan. Bukan tempat untuk mencari kemasyhuran dan kemegahan. Ramai daripada kalangan ulama sufi yang mengelak daripada ditaklifkan manusia atau menerima jawatan semasa hidup di dunia.Terutama kalangan ulama sufi yang lahir dari madrasah al Hijjaz (Makah dan Madinah) dan al Kuffah (Iraq). Ramai tokoh ulama sufi masyhur yang telah lahir daipada institusi ini antaranya ialah Abdullah b Umar, Abu Said al Khudri, Abu Dzar al Ghifari dan Said bin Jubair. mereka semua adalah dari kalangan Sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Langkah waspada yang telah dipilih oleh mereka adalah kerana takut tenggelam dengan kehidupan dunia langsung terlupa akhirat yang diimpikan mereka. Diceritakan bahawa Sufian b Uyainah dengan kewara'kan dan kezuhudanya suatu ketika pernah melarikan diri daripada dilantik menjadi hakim

Namun jangan kita lupa, ulama sufi yang lahir daripada madrasah Mesir pula telah memilih untuk menerima jawatan atau taklifan sebagai manhaj kesufian mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Antara mereka yang lahir daripada madrasah ini ialah Abdullah bin Amru bin al A'sr Sahabat Nabi Muhammad s.a.w, manakala daripada kalangan tabiin pula ialah Imam Allais bin Saad, Salim bin Atar Attajibi dan Abdul Rahman bin Hujairah. Diceritakan bahawa Iman Salim bin Atar dan dan Abdul Rahman bin Hujairah pernah dilantik menjadi Qadhi Negara Mesir.

Sufi mengikut takrif yang telah disebutkan oleh ulama ialah 'banyak melakukan ibadah, zahid dalam kehidupan dunianya dan haloba untuk kehidupan akhiratnya'. Jelas daripada kedua-dua kelompok ulama sufi yang telah disebutkan tadi mereka tidak tersasar daripada takrifan tersebut. Cuma, mungkin perbezaan Ittijah atau arah haluan yang berlaku diantara mereka adalah kerana latar belakang, persekitaran dan keperluan semasa hidup masing-masing.

Kepimpinan silih berganti seiring usia bumi yang semakin tua bergerak berlalu pergi. Namun, realiti yang berlaku pada hari ini dunia bagaikan ketandusan kepimpinan dari kalangan ulama yang sifatnya adalah sufi yang haraki, pula profesioanal. Memiliki ilmu yang luas, sufi dan zahid hidup dunianya serta mampu menggerakkan ummah ke arah pengabadin yang total kepada Khaliqnya. Bekerja siang dan malam serta mewakafkan diri dan segala yang dimiliki demi untuk Islam. Merekalah sebenarnya ulama yang layak untuk disifatkan sebagai mata rantai yang menyambung tugas-tugas perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

"Umar al faruq r.a antara contoh praktikal yang telah menjadikan sufi haraki sebagai pakaian kehidupannya. Masyhur sebagai seorang yang menjadi 'abid dimalam harinya dan singa pula disiang harinya. Tokoh pemimpin sufi yang sangat berjaya dengan kepimpinanya"

Jika dilihat kepada senario tuntutan dan keperluan semasa pada hari ini, sufi dengan memilih jalan uzlah memencilkan diri dari kancah masyarakat yang penuh dengan kebobrokan adalah suatu kefahaman yang silap. Walhal, yang sepatutnya adalah menggabungkan diri dalam kelompok ulama penggerak bagi sama-sama gembleng tenaga dan upaya mengislah masyarakat dan ummah. Tahap kesufian yang dimiliki perlu digerakkan seiringan dengan kerja-kerja amal Islami. Nabi Muhammad s.a.w adalah tokoh sufi yang paling ideal. Namun Nabi Muhammad s.a.w juga adalah tokoh daie yang paling kuat bergelumang dengan masayarakat. Diriwayatkan tiada lorong di kota Makkah yang tidak pernah dimasuki oleh Nabi Muhammad s.a.w. Pernah berlaku, suatu hari baginda pulang daripada melakukan tugas dakwah dalam keadaan pasir penuh bertaburan di atas kepala Nabi Muhammad s.a.w, lalu hal keadaan tersebut ditangisi oleh anak Baginda Siti Fatimah Azzahra'. Baginda memilih jalan inclussive bukan exclusive dalam mengasimilasikan tahap kesufian yang dimiliki oleh baginda.

Umar al faruq r.a antara contoh praktikal yang telah menjadikan sufi haraki sebagai pakaian kehidupannya. Masyhur sebagai seorang yang menjadi 'abid dimalam harinya dan singa pula disiang harinya. Tokoh pemimpin sufi yang sangat berjaya dengan kepimpinanya.

Al-Imam Abdullah bin al Mubarak pernah menulis surat kepada sahabatnya Fudhoil bin I'yad yang beriktikaf di Makkah dengan meninggalkan tugas jihad: "Wahai saudara yang sedang beribadat di tanah suci, kalau saudara melihat kami, nescaya saudara akan ketahui Saudara sebenarnya hanya bermain dengan ibadat. Siapa yang pipinya berlumuran air dengan mata ,maka leher kami berlumuran dengan darah. Kalau kudamu penat di dalam kebatilan maka kuda kami penat di medan perang"

Hari ini, untuk mencari mereka yang berpendidikan tinggi dengan pencapaian akademi yang cemerlang bukanlah suatu perkara yang payah. Bahkan berlambak. Namun, pula untuk mendapati kalangan ilmuan yang punya tahap kesedaran tinggi dan memiliki daya pengislahan yang mantap agak sedikit bilanganya. Satu cabaran dan tamparan. Justeru binalah kecemerlangan akademik anda dan pugarkan nilai kesufian anda. Kerana kedua-duanya sangat mustahak untuk masa depan kepimpinan anda.

Sufi Haraki. Tuntutan dan keperluan, dulu kini dan selamanya. Mobilisasi yang perlu digerak dan disahut oleh saya dan anda semua. Persiaplah diri. Janji kejayaan dunia akhirat telah tersedia buat kita.

Sabtu, 25 April 2009

Keluarga Aqidi

Jumaat, 28 Rabiul Akhir 1430 Hijrah merupakan malam terakhir usrah bermanhaj kami untuk fasa ini. Ditawaqqufkan seketika untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan yang bakal tiba. Rasa sedih pula untuk berpisah dengan liqa mingguan ini. Namun naqib kami Ust Nik Syahir menyatakan Insya Allah jika tiada aral kita akan teruskan juga pertemuan diminggu-minggu mendatang walau atas nama amali dan bukan ‘bermanhaj’.

Rasanya saya dan kami berhak berbangga dengan kelangsungan usrah yang telah sama-sama dijayakan pada tahun ini. Setakat malam itu, sudah dua puluh kali kami bertemu untuk berusrah. Walaupun dari sudut kualiti perlaksanaanya dirasakan masih banyak yang perlu ditingakatkan, namun kami tidak boleh menolak bahawa apa yang telah kami lalui bersama sebenarnya bukanlah sesuatu yang sangat lemah apatah lagi gagal, bahkan ianya merupakan sesuatu yang menarik dan semakin menarik.

Sungguh, kadang-kadang terbit perasaan lemah untuk menghadiri usrah, lebih-lebih lagi diketika gagal untuk melangsaikan beban taklifan dengan sempurna, ataupun dikala jadual usrah bertembung dengan komitmen lain dan terpaksa pula mengorbankan salah satu satu daripada dua pioriti tersebut. Lalu futur menerjah perasaan.

Kami ahli seusrah sangat memahami bahawa kami semua dalam proses pembinaan, membina sebuah kejayaan dalam berusrah. Semakin berusrah semakin lebat membungakan perasaan, sikap, cara dan fikrah kami secara kolektif. Setiap episod pertemuan makin mencambahkan peningkatan dan perkembangan positif kepada usrah kami, terutama dari sudut ukhuwwah dan ilmu. Rukun-rukun usrah dirasakan kian dekat digapai. Cuma masa sahaja yang akan menentukannya.

Saya cukup yakin dengan anugerah kemanisan yang bakal diperolehi bila komited dengan usrah, namun saya sendiri masih gagal sebenarnya untuk menyingkap hakikat kemanisan tersebut. Tidak pasti dimanakan sebenarnya terletak inti kemanisan tersebut, adakah ketika membentang, mendengar perbentangan, ilmiahnya, atau di akhir sesi ketika kami boleh makan bersama, atau pada pertemuan itu sendiri, atau mungkin juga disebabkan oleh kesemua faktor-faktor tersebut yang telah memahatkan rasa manis apabila berusrah. Oh sangat subjektif.

Benar, usrah merupakan sunnah yang pernah dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat dari kalangan assabiqun al awwalun di rumah al Arqam Abi al Arqam. Pun begitu, mungkin dari sudut perjalanaa usrah yang didapati pada hari ini tidak sama lagi dengan apa yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, apatah lagi kalau hendak dinilai dari sudut ruh dan ‘spirit’nya. Namun dari sudut hadaf perlaksanaanya tetap tidak lari daripada apa yang telah diasaskan oleh nabi Muhammad s.a.w. Malahan menjadi kewajipan kepada pengamal-pengamal usrah untuk memastikan piawaian sebuah usrah sentiasa menepati.

Pengamatanku, usrah hanya akan berjaya jika dipaksikan di atas asas keikhlasan, semangat ukhuwwah Islamiah dan komitmen. Sebagaimana usrah juga tidak akan berjaya mencapai hadafnya jika perlaksanaanya dibayangi dengan sikap hipokrik dan retorik.

Sarananku, Manfaatkanlah masa berkelana anda di bumi anbia’ ini dengan aktiviti usrah. Binalah ilmu dan pengalaman anda melaluinya. Ada unsur pembentukan syakhsiyyah diri dalam berusrah. Usrah juga boleh dieksploitasi sebagai sebuah komuniti yang kritikal menjana sebuah dakwah, tarbiah dan ilmu-ilmu Islam kepada ummah.

Rabu, 22 April 2009

Imtihan Dalam Imtihan


Imtihan dalam imtihan
Ku memahami apa maksudmu
Dirimu sempit dihimpit imtihan
Digodam musibah dipukul mehnah

Imtihan dalam imtihan
Datang seiringan mengapa tidak bersusulan
Dalam kegawatan yang penuh hambatan
Dipaksa tabah walau futur menyerang

Imtihan oh imtihan….
Kau tetap datang walau tidak diundang

Berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul
Diriku hanya mampu menumpang
Menumpang sedih mendengar khabaran
Namun dirimu sakit bagai dipukul
Bila ujian menimpa orang tersayang

Kau rentas salju sahara
Kau tatap sesak damai kanvas alam
Jernih matamu berkaca
Menahan sedih duka nestapa
Kenangkan nasib diri dan keluarga

Namun…
Aku kagum dengan dirimu
Komitmenmu cukup jitu
Iltizammu tetap padu
Kau tidak rebah dipukul mehnah
Walau diterjah tetap kau tabah
Kau cuba berdiri walau jasadmu lemah
Demi perjuangan yang telah kau baiah

Akhi..
Kau tiada pilihan
Melainkan terpaksa engkau teruskan
Maju, meluru dan terus memburu
Dalam kelam seribu kegelapan
Memburu kemenangan dicelah kepayahan

Jangan kecewa jangan berduka
Masalahmu masalah bersama
Yakin percaya kami tetap setia
Menyokong membantu sedaya upaya
Ribat ukhuwah yang telah terbina
Menjadi saksi kasih sayang kita

Buktikan…
Buktikan engkau seorang yang jantan
Tegar diuji sebarang ujian
Ibu menanti penuh harapan
Adik menunggu abangnya sorang
Pulang membawa sekalung kemenangan
Ingat…menang dan menang itu saja jawapan
Ingat…harapan ibu adik mu jangan hampakan

Akhirnya….
Kau berhak dinobat sejambak tahniah
Kami bangga menumpang izzah
Dek berketuakan seorang yang tabah

Imtihan dalam imtihan….
Damba hikmah agung tuhan yang esa




Sajak ini dicipta khas buat akhi Dzulhilmi Roslan. Rakan seperjuanganku dalam kepimpinan. Beliau diuji Allah s.w.t apabila ibunya acap ditimpa sakit. Beliau hanya dua beradik, dan adiknya sekarang terpaksa menumpukan perhatian kepada peperiksaan di Universiti. Riak wajahnya jelas menggambarkan kerunsingan. Tekanan mungkin berganda kerana sekarang fatrah imtihan dan dalam masa yang sama beliau juga penjawat jawatan persatuan pelajar di Tanta. Doakan semoga beliau mampu mengekalkan kecemerlangan akademiknya serta berjaya dalam kepimpinan.
Semoga beliau tabah dan thabat menghadapi segalanya.


Kelmarin, beliau menstatuskan kalimat imtihan dalam imtihan di YMnya.
Lalu daku mengilhamkan sajak ini buat beliau


Dzul…sajak ini mungkin sekelumit cuma, Secangkir nilai Ukhuwah kita.
Namun ia tetap Lillahi Taala.

Selasa, 21 April 2009

Aku Mahu Jadi Kaya

Manusia sering mengeluh apabila diuji Allah s.w.t dengan kesakitan, kegawatan, kekecewaan, kemiskinan dan kefaqiran. Tetapi manusia tidak pernah gelisah apabila diuji dengan kekayaan, kebahagiaan, kecukupan dan kemewahan dalam kehidupan.

Menjadi kaya adalah impian hidup semua manusia. Manusia seolah-olahnya saling bertarung untuk menjadi kaya. Kekayaan bagaikan nyawa untuk menyambung sebuah kehidupan. Hari ini jika hidup tidak berduit bagaikan hidup tidak berkaki. Indikator kepada kebahagian hidup dinilai berdasarkan kepada sejauh mana harta kekayaan yang dimiliki.

Kekayaan bagaikan ‘Tuhan’. Mereka yang memiliki kekayaan harta akan dipuja dan yang miskin pula akan dihina. Mereka dijadikan tempat bergantung harap manusia kepadanya. Bagi yang kaya mereka merasakan dunia ini bagaikan ‘ana yang punya’.. Demi sebuah kekayaan, halal haram bukan lagi sempadan. Kerana kekayaan manusia telah lupa siapakah sebenarnya tuhan mereka. Demikianlah kekayaan yang telah diisitidrajkan oleh Allah s.w.t terhadap mereka.

Waspada
Kaya adalah ujian dan miskin juga adalah ujian, dan kedua-duanya bakal mendapat balasan berdasarkan kepada ujian tersebut. Namun yang kaya lebih banyak diuji jika hendak dibandingkan dengan mereka yang miskin, sebanyak mana harta yang dimiliki maka sebanyak itu jugalah penditailan hisab daripada Allah s.w.t ke atas mereka. Berbahagialah bagi mereka yang miskin kelak mereka terlebih dahulu dimasukkan ke dalam syurga kerana singkatnya tempoh hisab mereka. Nabi Muhammad s.a.w pernah berdoa agar digolongkan oleh Allah s.w.t ke dalam kelompok mereka yang miskin.

Kekayaan bukanlah suatu yang hina, malah Allah s.w.t menuntut supaya hambanya berusaha untuk menjadi kaya. Saya dan anda semua berpotensi untuk jadi kaya jika diizinkan tuhan kita, Namun perlu berwaspada, kerana dengan kekayaan tersebut ianya bakal mengundang fitnah dan murka Allah s.w.t jika ianya tidak diasaskan di atas paksi membangunkan iman sebelum membina kekayaan.

Perhatikanlah kepada maksud firman Allah s.w.t yang telah menyarankan kepada hambanya supaya berusaha mencari kekayaan hidup “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”-jumuah 10

Ibrah dari kisah mereka
Di zaman Rasulullah s.a.w ada seorang sahabat yang bernama Sa’labah bin Hatib yang hidupnya sangat miskin namun kuat beribadah kepada Allah s.w.t. Suatu hari beliau meminta kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya mendoakanya agar menjadi kaya. Lalu dimakbulkan Allah s.w.t dengan menjadikanya seorang penternak kambing yang berjaya. Namun malang sekali dengan kesenangan tersebut telah membuatkanya manjadi lupa akan Tuhan dan Rasulnya. Perhatikan sama kepada kisah hidup Qarun laknatullah alaihi kerana padanya juga ada ibrah berguna yang boleh dipelajari.

Sebenarnya ramai daripada kalangan salafunassoleh yang kaya raya, namun mereka tidak mendapat murka Allah s.w.t dengan kekayaan tersebut bahkan pula disanjungi dan perlu untuk diteladani. Sebagai contoh hartawan di Zaman Rasulullah s.a.w Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Abd Rahman bin Auf, Sayyidina Uthman bin Affan, Sayyidina Anas bin Malik. Kajilah sejarah hidup mereka. Ke arah manakah dimanfaatkan harta kekayaan mereka?

"Umar Abdul Aziz telah memilih untuk hidup miskin
yang sebelumnya beliau adalah seorang yang kaya dek kerana runsing
jika kekayaan tersebut bakal menghalang urusan agamanya"


Agamawan yang tumpas dengan ujian kekayaan.
Inilah sebenarnya yang merunsingkan saya. Ramai daripada kalangan yang mendapat pendidikan agama di alam pengajiannya tetapi tewas apabila diuji dengan kemewahan hidup ketika di alam pekerjaan mereka. Sama ada gagal apabila diuji dengan kesempitan hidup atau lali dibius dengan kekayaan dan kemewahan hidup. Lalu urusan perjuangan dikesampingkan. Fenomena lama yang menghantui ustaz ustazah. Saya juga berisiko untuk terlibat sama. Doakan saya.

Islam tidak pernah menghalang untuk mencari kemewahan hidup. Namun jangan pula kemewahan hidup menjadi penghalang kepada urusan perjuangan. Bekalkanlah iman anda secukup-cukupnya jika anda bercita-cita untuk menjadi kaya. Umar Abdul Aziz telah memilih untuk hidup miskin yang sebelumnya beliau adalah seorang yang kaya dek kerana runsing jika kekayaan tersebut bakal menghalang urusan agamanya.

Mudah-mudahan kita semua akan dikayakan oleh Allah s.w.t dengan ilmu, akhlak, adab dan harta, Kekayaan yang mengundang redha bukanya murka dari Tuhan kita.