Rabu, 22 April 2009

Imtihan Dalam Imtihan


Imtihan dalam imtihan
Ku memahami apa maksudmu
Dirimu sempit dihimpit imtihan
Digodam musibah dipukul mehnah

Imtihan dalam imtihan
Datang seiringan mengapa tidak bersusulan
Dalam kegawatan yang penuh hambatan
Dipaksa tabah walau futur menyerang

Imtihan oh imtihan….
Kau tetap datang walau tidak diundang

Berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul
Diriku hanya mampu menumpang
Menumpang sedih mendengar khabaran
Namun dirimu sakit bagai dipukul
Bila ujian menimpa orang tersayang

Kau rentas salju sahara
Kau tatap sesak damai kanvas alam
Jernih matamu berkaca
Menahan sedih duka nestapa
Kenangkan nasib diri dan keluarga

Namun…
Aku kagum dengan dirimu
Komitmenmu cukup jitu
Iltizammu tetap padu
Kau tidak rebah dipukul mehnah
Walau diterjah tetap kau tabah
Kau cuba berdiri walau jasadmu lemah
Demi perjuangan yang telah kau baiah

Akhi..
Kau tiada pilihan
Melainkan terpaksa engkau teruskan
Maju, meluru dan terus memburu
Dalam kelam seribu kegelapan
Memburu kemenangan dicelah kepayahan

Jangan kecewa jangan berduka
Masalahmu masalah bersama
Yakin percaya kami tetap setia
Menyokong membantu sedaya upaya
Ribat ukhuwah yang telah terbina
Menjadi saksi kasih sayang kita

Buktikan…
Buktikan engkau seorang yang jantan
Tegar diuji sebarang ujian
Ibu menanti penuh harapan
Adik menunggu abangnya sorang
Pulang membawa sekalung kemenangan
Ingat…menang dan menang itu saja jawapan
Ingat…harapan ibu adik mu jangan hampakan

Akhirnya….
Kau berhak dinobat sejambak tahniah
Kami bangga menumpang izzah
Dek berketuakan seorang yang tabah

Imtihan dalam imtihan….
Damba hikmah agung tuhan yang esa




Sajak ini dicipta khas buat akhi Dzulhilmi Roslan. Rakan seperjuanganku dalam kepimpinan. Beliau diuji Allah s.w.t apabila ibunya acap ditimpa sakit. Beliau hanya dua beradik, dan adiknya sekarang terpaksa menumpukan perhatian kepada peperiksaan di Universiti. Riak wajahnya jelas menggambarkan kerunsingan. Tekanan mungkin berganda kerana sekarang fatrah imtihan dan dalam masa yang sama beliau juga penjawat jawatan persatuan pelajar di Tanta. Doakan semoga beliau mampu mengekalkan kecemerlangan akademiknya serta berjaya dalam kepimpinan.
Semoga beliau tabah dan thabat menghadapi segalanya.


Kelmarin, beliau menstatuskan kalimat imtihan dalam imtihan di YMnya.
Lalu daku mengilhamkan sajak ini buat beliau


Dzul…sajak ini mungkin sekelumit cuma, Secangkir nilai Ukhuwah kita.
Namun ia tetap Lillahi Taala.

0 ulasan: