Sabtu, 2 Mei 2009

Ujian Yang Tidak Berfasal


Kejadian curi yang berlaku sehari dua ini agak gege kecoh juga diperkatakan. Tangan ku terasa gatal-gatal pulak untuk membekaskan sesuatu tentang hal ini.

Walaupun naluri ku agak malas sebenarnya…

X per, kita bercerita sambil2 santai je.

Apa…?

Kes curi,
Kes pertama….kecurian, atau kita namakan kes pecah rumah pun boleh gak, kerana pencuri masuk rumah melalui jendela bahagian dapur rumah. Berlaku kepada kawan kita di Seberbay. Dua tiga orang gak sesame ahli bait yang menjadi mangsa. Barangan yang hilang pulak ialah sebuah Komputer bimbit, sebuah Kameral digital dan dompet duit.

Dua tiga hari sebelum tu mangsa dah menjadi mangsa kali yang pertama..yang hilang tika tu handset. Maka, dua kalilah jadi mangsa kecurian. Besar ujian untuk beliau..moga mangsa tabah inAllah ada hikmah agung disebaliknya.

Anggaran jumlah kesemua yang hilang katanya empat ribu lebih jugak….

Kes kedua…..berlaku sekitar dua bulan lebih awal daripada kes yang pertama tadi.
Ku nyatakan sekali di sini, kerana rasanya ada persamaan ckit2 dengan kes yang pertama tadi.

Barangan yang hilang ialah sebuah komputer bimbit gak, tapi yang ni mungkin lebih menyayatkan rasanya, kerana saudara kita yang menjadi mangsa tu baru sampai sehari kat Mesir ni, sekembalinya bercuti dari Malaysia bersama dengan sebuah Laptop yang baru dibeli..Zalim betul pencuri ni.

Masuk rumah tanpa disedari, tapi boleh disyaki…mangsa cenderung mengatakan Arab yang masuk mengambiknya.

Kes yang ketiga lak….belum hilang lagi, rumah dimasuki Arab..tapi hal penceritaanya percubaan untuk dicuri jugak. Nasib baik sedikit awal ahli bait menyedarinya.

Ha, yang ni berlaku kepada saudari pelajar perubatan thn satu, walaupun x sempat ambik tp telah membakar darah kejantanan ku..Huh, nasib baik2. hehe.

Kes yang keempat….curi jugak..
panas2 lg daku dikhabari tentang nya. Dompet dicuri pencuri yang tidak diketahui juga siapakah gerangannya. Sama dengan kes2 yang diatas, hilang dekat umah.dan khabarnya lesap ratusan L.E juga.

Mengapa?

Mengapa kita yang menjadi mangsa?

Adakah kita dijadikan mangsa kerana kita dilihat oleh pencuri sebagai warga yang kaya?

Adakah kerana security kita yang memang lemah, mudah dilolosi pencuri?

Adakah kerana sikap kita yang lembut dan dilihat lemah, sesuai pada hemat pencuri untuk dijadikan sebagai mangsa?

Bagaimana tindakan kita semua?

Sarananku..

1. Mustahak untuk kita menyembunyikan kekayaan dan kemewahan yang dimiliki dari pandangan mata awam.

2. Jangan bermudah2 membenarkan Arab memasuki rumah kita, apatah lagi menggatal ajak masuk rumah kalau tidak terlebih awal diusul pereksa. Abang2 lama kata Arab yg biasa2 ni jangan mudah dipercaya.

3. Tegas jangan terlalu berlembut. Sebab itu kaedah muamalat dengan mereka. Jangan mudah kita meng'aiwah' kalam mereka. Bila didesak dengan masyi, masyi? oleh mereka. Maka kita pun masyi jugaklah. Padahal x faham apa yang dimasyikan, tahu2 dah kena dua tiga ratus kat depa…sengeh sajo lah kito.

4. Mengambil langkah beringat dan waspada, terutama kepada kekawan yg duduk di Seberbay. Tengok edaran pekeliling daripada persatuan yang telah dipekelilingkan.

Pedoman buat diri, mangsa curi dan semua pembaca.


Kes2 yg seumpama tadi adalah ujian kepada kita. Ulama menyebut ujian ni berlaku dlm beberapa keadaan:

1.Ujian manusia kepada manusia. Contoh peperiksaan, perlawanan, pertandingan dan yang seangkatan dengan nya. Diuji untuk mengetahui siapa menang dan siapa kalah. Siapa kuat dan siapa lemah

2. Ujian daripada Allah s.w.t terhadap hamba2Nya. Samada untuk membalas dan menghina mangsa atau untuk diangkat darjat dan memuliakan mangsa.

Membalas manusia yang melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. Namun jika mendapat balasan Allah s.w.t di bumi ni menjadi kifarah pula kepada dosa2 mereka.

Manakala ujian Allah s.w.t untuk memuliakan atau mengangkat darjat pula. Sebagaimana Allah s.w.t menguji para hambanya dari kalangan Nabi, Sahabat, Syuhadah dan para Solihin.

Semoga kita semua dari kalangan hamba2 yang berjaya bila diuji oleh tuhan kita. Jika tidak, sedari awal2 lg kita minta jauh denganNya.

Jumaat, 1 Mei 2009

Sufi Yang Memimpin

Dalam agama Islam kesemua mereka yang mengaku beriman merupakan pemimpin. Tidak kira walau dalam apa jua institusi yang dibarisi oleh mereka. Samada kekeluargaan, pentadbiran, kemasyarakatan, Negeri dan Negara. Sehinggakan untuk diri sendiri yang tidak melibatkan orang lain pun jua dinamakan sebagai pemimpin, memimpin diri dengan arahan iman serta mengawal diri daripada godaan nafsu dan syaitan.

Sementelahanlah bagi manusia yang memimpin manusia yang lain, lebih-lebih lagi bagi institusi besar yang melibatkan manusia yang ramai. Tiada lagi jalan keluar untuk kita. Maka setiap daripada apa yang mereka pimpin akan disoal siasat dan diperhalusi oleh Allah s.w.t satu persatu.Hal ini dibenarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sabdaanya: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu semua bertanggung jawab di atas apa yang telah kamu pimpin".

Jawatan adalah taklifan bukan pentasyrifan. Bukan tempat untuk mencari kemasyhuran dan kemegahan. Ramai daripada kalangan ulama sufi yang mengelak daripada ditaklifkan manusia atau menerima jawatan semasa hidup di dunia.Terutama kalangan ulama sufi yang lahir dari madrasah al Hijjaz (Makah dan Madinah) dan al Kuffah (Iraq). Ramai tokoh ulama sufi masyhur yang telah lahir daipada institusi ini antaranya ialah Abdullah b Umar, Abu Said al Khudri, Abu Dzar al Ghifari dan Said bin Jubair. mereka semua adalah dari kalangan Sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Langkah waspada yang telah dipilih oleh mereka adalah kerana takut tenggelam dengan kehidupan dunia langsung terlupa akhirat yang diimpikan mereka. Diceritakan bahawa Sufian b Uyainah dengan kewara'kan dan kezuhudanya suatu ketika pernah melarikan diri daripada dilantik menjadi hakim

Namun jangan kita lupa, ulama sufi yang lahir daripada madrasah Mesir pula telah memilih untuk menerima jawatan atau taklifan sebagai manhaj kesufian mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Antara mereka yang lahir daripada madrasah ini ialah Abdullah bin Amru bin al A'sr Sahabat Nabi Muhammad s.a.w, manakala daripada kalangan tabiin pula ialah Imam Allais bin Saad, Salim bin Atar Attajibi dan Abdul Rahman bin Hujairah. Diceritakan bahawa Iman Salim bin Atar dan dan Abdul Rahman bin Hujairah pernah dilantik menjadi Qadhi Negara Mesir.

Sufi mengikut takrif yang telah disebutkan oleh ulama ialah 'banyak melakukan ibadah, zahid dalam kehidupan dunianya dan haloba untuk kehidupan akhiratnya'. Jelas daripada kedua-dua kelompok ulama sufi yang telah disebutkan tadi mereka tidak tersasar daripada takrifan tersebut. Cuma, mungkin perbezaan Ittijah atau arah haluan yang berlaku diantara mereka adalah kerana latar belakang, persekitaran dan keperluan semasa hidup masing-masing.

Kepimpinan silih berganti seiring usia bumi yang semakin tua bergerak berlalu pergi. Namun, realiti yang berlaku pada hari ini dunia bagaikan ketandusan kepimpinan dari kalangan ulama yang sifatnya adalah sufi yang haraki, pula profesioanal. Memiliki ilmu yang luas, sufi dan zahid hidup dunianya serta mampu menggerakkan ummah ke arah pengabadin yang total kepada Khaliqnya. Bekerja siang dan malam serta mewakafkan diri dan segala yang dimiliki demi untuk Islam. Merekalah sebenarnya ulama yang layak untuk disifatkan sebagai mata rantai yang menyambung tugas-tugas perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

"Umar al faruq r.a antara contoh praktikal yang telah menjadikan sufi haraki sebagai pakaian kehidupannya. Masyhur sebagai seorang yang menjadi 'abid dimalam harinya dan singa pula disiang harinya. Tokoh pemimpin sufi yang sangat berjaya dengan kepimpinanya"

Jika dilihat kepada senario tuntutan dan keperluan semasa pada hari ini, sufi dengan memilih jalan uzlah memencilkan diri dari kancah masyarakat yang penuh dengan kebobrokan adalah suatu kefahaman yang silap. Walhal, yang sepatutnya adalah menggabungkan diri dalam kelompok ulama penggerak bagi sama-sama gembleng tenaga dan upaya mengislah masyarakat dan ummah. Tahap kesufian yang dimiliki perlu digerakkan seiringan dengan kerja-kerja amal Islami. Nabi Muhammad s.a.w adalah tokoh sufi yang paling ideal. Namun Nabi Muhammad s.a.w juga adalah tokoh daie yang paling kuat bergelumang dengan masayarakat. Diriwayatkan tiada lorong di kota Makkah yang tidak pernah dimasuki oleh Nabi Muhammad s.a.w. Pernah berlaku, suatu hari baginda pulang daripada melakukan tugas dakwah dalam keadaan pasir penuh bertaburan di atas kepala Nabi Muhammad s.a.w, lalu hal keadaan tersebut ditangisi oleh anak Baginda Siti Fatimah Azzahra'. Baginda memilih jalan inclussive bukan exclusive dalam mengasimilasikan tahap kesufian yang dimiliki oleh baginda.

Umar al faruq r.a antara contoh praktikal yang telah menjadikan sufi haraki sebagai pakaian kehidupannya. Masyhur sebagai seorang yang menjadi 'abid dimalam harinya dan singa pula disiang harinya. Tokoh pemimpin sufi yang sangat berjaya dengan kepimpinanya.

Al-Imam Abdullah bin al Mubarak pernah menulis surat kepada sahabatnya Fudhoil bin I'yad yang beriktikaf di Makkah dengan meninggalkan tugas jihad: "Wahai saudara yang sedang beribadat di tanah suci, kalau saudara melihat kami, nescaya saudara akan ketahui Saudara sebenarnya hanya bermain dengan ibadat. Siapa yang pipinya berlumuran air dengan mata ,maka leher kami berlumuran dengan darah. Kalau kudamu penat di dalam kebatilan maka kuda kami penat di medan perang"

Hari ini, untuk mencari mereka yang berpendidikan tinggi dengan pencapaian akademi yang cemerlang bukanlah suatu perkara yang payah. Bahkan berlambak. Namun, pula untuk mendapati kalangan ilmuan yang punya tahap kesedaran tinggi dan memiliki daya pengislahan yang mantap agak sedikit bilanganya. Satu cabaran dan tamparan. Justeru binalah kecemerlangan akademik anda dan pugarkan nilai kesufian anda. Kerana kedua-duanya sangat mustahak untuk masa depan kepimpinan anda.

Sufi Haraki. Tuntutan dan keperluan, dulu kini dan selamanya. Mobilisasi yang perlu digerak dan disahut oleh saya dan anda semua. Persiaplah diri. Janji kejayaan dunia akhirat telah tersedia buat kita.

Sabtu, 25 April 2009

Keluarga Aqidi

Jumaat, 28 Rabiul Akhir 1430 Hijrah merupakan malam terakhir usrah bermanhaj kami untuk fasa ini. Ditawaqqufkan seketika untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan yang bakal tiba. Rasa sedih pula untuk berpisah dengan liqa mingguan ini. Namun naqib kami Ust Nik Syahir menyatakan Insya Allah jika tiada aral kita akan teruskan juga pertemuan diminggu-minggu mendatang walau atas nama amali dan bukan ‘bermanhaj’.

Rasanya saya dan kami berhak berbangga dengan kelangsungan usrah yang telah sama-sama dijayakan pada tahun ini. Setakat malam itu, sudah dua puluh kali kami bertemu untuk berusrah. Walaupun dari sudut kualiti perlaksanaanya dirasakan masih banyak yang perlu ditingakatkan, namun kami tidak boleh menolak bahawa apa yang telah kami lalui bersama sebenarnya bukanlah sesuatu yang sangat lemah apatah lagi gagal, bahkan ianya merupakan sesuatu yang menarik dan semakin menarik.

Sungguh, kadang-kadang terbit perasaan lemah untuk menghadiri usrah, lebih-lebih lagi diketika gagal untuk melangsaikan beban taklifan dengan sempurna, ataupun dikala jadual usrah bertembung dengan komitmen lain dan terpaksa pula mengorbankan salah satu satu daripada dua pioriti tersebut. Lalu futur menerjah perasaan.

Kami ahli seusrah sangat memahami bahawa kami semua dalam proses pembinaan, membina sebuah kejayaan dalam berusrah. Semakin berusrah semakin lebat membungakan perasaan, sikap, cara dan fikrah kami secara kolektif. Setiap episod pertemuan makin mencambahkan peningkatan dan perkembangan positif kepada usrah kami, terutama dari sudut ukhuwwah dan ilmu. Rukun-rukun usrah dirasakan kian dekat digapai. Cuma masa sahaja yang akan menentukannya.

Saya cukup yakin dengan anugerah kemanisan yang bakal diperolehi bila komited dengan usrah, namun saya sendiri masih gagal sebenarnya untuk menyingkap hakikat kemanisan tersebut. Tidak pasti dimanakan sebenarnya terletak inti kemanisan tersebut, adakah ketika membentang, mendengar perbentangan, ilmiahnya, atau di akhir sesi ketika kami boleh makan bersama, atau pada pertemuan itu sendiri, atau mungkin juga disebabkan oleh kesemua faktor-faktor tersebut yang telah memahatkan rasa manis apabila berusrah. Oh sangat subjektif.

Benar, usrah merupakan sunnah yang pernah dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat dari kalangan assabiqun al awwalun di rumah al Arqam Abi al Arqam. Pun begitu, mungkin dari sudut perjalanaa usrah yang didapati pada hari ini tidak sama lagi dengan apa yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, apatah lagi kalau hendak dinilai dari sudut ruh dan ‘spirit’nya. Namun dari sudut hadaf perlaksanaanya tetap tidak lari daripada apa yang telah diasaskan oleh nabi Muhammad s.a.w. Malahan menjadi kewajipan kepada pengamal-pengamal usrah untuk memastikan piawaian sebuah usrah sentiasa menepati.

Pengamatanku, usrah hanya akan berjaya jika dipaksikan di atas asas keikhlasan, semangat ukhuwwah Islamiah dan komitmen. Sebagaimana usrah juga tidak akan berjaya mencapai hadafnya jika perlaksanaanya dibayangi dengan sikap hipokrik dan retorik.

Sarananku, Manfaatkanlah masa berkelana anda di bumi anbia’ ini dengan aktiviti usrah. Binalah ilmu dan pengalaman anda melaluinya. Ada unsur pembentukan syakhsiyyah diri dalam berusrah. Usrah juga boleh dieksploitasi sebagai sebuah komuniti yang kritikal menjana sebuah dakwah, tarbiah dan ilmu-ilmu Islam kepada ummah.

Rabu, 22 April 2009

Imtihan Dalam Imtihan


Imtihan dalam imtihan
Ku memahami apa maksudmu
Dirimu sempit dihimpit imtihan
Digodam musibah dipukul mehnah

Imtihan dalam imtihan
Datang seiringan mengapa tidak bersusulan
Dalam kegawatan yang penuh hambatan
Dipaksa tabah walau futur menyerang

Imtihan oh imtihan….
Kau tetap datang walau tidak diundang

Berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul
Diriku hanya mampu menumpang
Menumpang sedih mendengar khabaran
Namun dirimu sakit bagai dipukul
Bila ujian menimpa orang tersayang

Kau rentas salju sahara
Kau tatap sesak damai kanvas alam
Jernih matamu berkaca
Menahan sedih duka nestapa
Kenangkan nasib diri dan keluarga

Namun…
Aku kagum dengan dirimu
Komitmenmu cukup jitu
Iltizammu tetap padu
Kau tidak rebah dipukul mehnah
Walau diterjah tetap kau tabah
Kau cuba berdiri walau jasadmu lemah
Demi perjuangan yang telah kau baiah

Akhi..
Kau tiada pilihan
Melainkan terpaksa engkau teruskan
Maju, meluru dan terus memburu
Dalam kelam seribu kegelapan
Memburu kemenangan dicelah kepayahan

Jangan kecewa jangan berduka
Masalahmu masalah bersama
Yakin percaya kami tetap setia
Menyokong membantu sedaya upaya
Ribat ukhuwah yang telah terbina
Menjadi saksi kasih sayang kita

Buktikan…
Buktikan engkau seorang yang jantan
Tegar diuji sebarang ujian
Ibu menanti penuh harapan
Adik menunggu abangnya sorang
Pulang membawa sekalung kemenangan
Ingat…menang dan menang itu saja jawapan
Ingat…harapan ibu adik mu jangan hampakan

Akhirnya….
Kau berhak dinobat sejambak tahniah
Kami bangga menumpang izzah
Dek berketuakan seorang yang tabah

Imtihan dalam imtihan….
Damba hikmah agung tuhan yang esa




Sajak ini dicipta khas buat akhi Dzulhilmi Roslan. Rakan seperjuanganku dalam kepimpinan. Beliau diuji Allah s.w.t apabila ibunya acap ditimpa sakit. Beliau hanya dua beradik, dan adiknya sekarang terpaksa menumpukan perhatian kepada peperiksaan di Universiti. Riak wajahnya jelas menggambarkan kerunsingan. Tekanan mungkin berganda kerana sekarang fatrah imtihan dan dalam masa yang sama beliau juga penjawat jawatan persatuan pelajar di Tanta. Doakan semoga beliau mampu mengekalkan kecemerlangan akademiknya serta berjaya dalam kepimpinan.
Semoga beliau tabah dan thabat menghadapi segalanya.


Kelmarin, beliau menstatuskan kalimat imtihan dalam imtihan di YMnya.
Lalu daku mengilhamkan sajak ini buat beliau


Dzul…sajak ini mungkin sekelumit cuma, Secangkir nilai Ukhuwah kita.
Namun ia tetap Lillahi Taala.

Selasa, 21 April 2009

Aku Mahu Jadi Kaya

Manusia sering mengeluh apabila diuji Allah s.w.t dengan kesakitan, kegawatan, kekecewaan, kemiskinan dan kefaqiran. Tetapi manusia tidak pernah gelisah apabila diuji dengan kekayaan, kebahagiaan, kecukupan dan kemewahan dalam kehidupan.

Menjadi kaya adalah impian hidup semua manusia. Manusia seolah-olahnya saling bertarung untuk menjadi kaya. Kekayaan bagaikan nyawa untuk menyambung sebuah kehidupan. Hari ini jika hidup tidak berduit bagaikan hidup tidak berkaki. Indikator kepada kebahagian hidup dinilai berdasarkan kepada sejauh mana harta kekayaan yang dimiliki.

Kekayaan bagaikan ‘Tuhan’. Mereka yang memiliki kekayaan harta akan dipuja dan yang miskin pula akan dihina. Mereka dijadikan tempat bergantung harap manusia kepadanya. Bagi yang kaya mereka merasakan dunia ini bagaikan ‘ana yang punya’.. Demi sebuah kekayaan, halal haram bukan lagi sempadan. Kerana kekayaan manusia telah lupa siapakah sebenarnya tuhan mereka. Demikianlah kekayaan yang telah diisitidrajkan oleh Allah s.w.t terhadap mereka.

Waspada
Kaya adalah ujian dan miskin juga adalah ujian, dan kedua-duanya bakal mendapat balasan berdasarkan kepada ujian tersebut. Namun yang kaya lebih banyak diuji jika hendak dibandingkan dengan mereka yang miskin, sebanyak mana harta yang dimiliki maka sebanyak itu jugalah penditailan hisab daripada Allah s.w.t ke atas mereka. Berbahagialah bagi mereka yang miskin kelak mereka terlebih dahulu dimasukkan ke dalam syurga kerana singkatnya tempoh hisab mereka. Nabi Muhammad s.a.w pernah berdoa agar digolongkan oleh Allah s.w.t ke dalam kelompok mereka yang miskin.

Kekayaan bukanlah suatu yang hina, malah Allah s.w.t menuntut supaya hambanya berusaha untuk menjadi kaya. Saya dan anda semua berpotensi untuk jadi kaya jika diizinkan tuhan kita, Namun perlu berwaspada, kerana dengan kekayaan tersebut ianya bakal mengundang fitnah dan murka Allah s.w.t jika ianya tidak diasaskan di atas paksi membangunkan iman sebelum membina kekayaan.

Perhatikanlah kepada maksud firman Allah s.w.t yang telah menyarankan kepada hambanya supaya berusaha mencari kekayaan hidup “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”-jumuah 10

Ibrah dari kisah mereka
Di zaman Rasulullah s.a.w ada seorang sahabat yang bernama Sa’labah bin Hatib yang hidupnya sangat miskin namun kuat beribadah kepada Allah s.w.t. Suatu hari beliau meminta kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya mendoakanya agar menjadi kaya. Lalu dimakbulkan Allah s.w.t dengan menjadikanya seorang penternak kambing yang berjaya. Namun malang sekali dengan kesenangan tersebut telah membuatkanya manjadi lupa akan Tuhan dan Rasulnya. Perhatikan sama kepada kisah hidup Qarun laknatullah alaihi kerana padanya juga ada ibrah berguna yang boleh dipelajari.

Sebenarnya ramai daripada kalangan salafunassoleh yang kaya raya, namun mereka tidak mendapat murka Allah s.w.t dengan kekayaan tersebut bahkan pula disanjungi dan perlu untuk diteladani. Sebagai contoh hartawan di Zaman Rasulullah s.a.w Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Abd Rahman bin Auf, Sayyidina Uthman bin Affan, Sayyidina Anas bin Malik. Kajilah sejarah hidup mereka. Ke arah manakah dimanfaatkan harta kekayaan mereka?

"Umar Abdul Aziz telah memilih untuk hidup miskin
yang sebelumnya beliau adalah seorang yang kaya dek kerana runsing
jika kekayaan tersebut bakal menghalang urusan agamanya"


Agamawan yang tumpas dengan ujian kekayaan.
Inilah sebenarnya yang merunsingkan saya. Ramai daripada kalangan yang mendapat pendidikan agama di alam pengajiannya tetapi tewas apabila diuji dengan kemewahan hidup ketika di alam pekerjaan mereka. Sama ada gagal apabila diuji dengan kesempitan hidup atau lali dibius dengan kekayaan dan kemewahan hidup. Lalu urusan perjuangan dikesampingkan. Fenomena lama yang menghantui ustaz ustazah. Saya juga berisiko untuk terlibat sama. Doakan saya.

Islam tidak pernah menghalang untuk mencari kemewahan hidup. Namun jangan pula kemewahan hidup menjadi penghalang kepada urusan perjuangan. Bekalkanlah iman anda secukup-cukupnya jika anda bercita-cita untuk menjadi kaya. Umar Abdul Aziz telah memilih untuk hidup miskin yang sebelumnya beliau adalah seorang yang kaya dek kerana runsing jika kekayaan tersebut bakal menghalang urusan agamanya.

Mudah-mudahan kita semua akan dikayakan oleh Allah s.w.t dengan ilmu, akhlak, adab dan harta, Kekayaan yang mengundang redha bukanya murka dari Tuhan kita.

Selasa, 14 April 2009

Apabila Artis Sertai Parti Islam

Berita penyertaan artis secara rasmi ke dalam parti PAS bukan isu yang asing lagi. Seorang demi seorang telah mengambil tindakan berani dengan mengisyitiharkan penyertaan mereka ke dalam PAS, sebuah parti pembangkang di Tanah Air. Malahan ada daripada kalangan mereka yang berani menampilkan diri untuk beraksi di pentas sama ada dengan berceramah atau berkonsert atas platform PAS.

Terbaru ialah vokalis kumpulan rock Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membut kejutan apabila secara sah menyertai PAS. Sempena program yang bertemakan 'Jom Sertai PAS', Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri di atas pentas sebelum majlis tersebut berakhir.

Ternyata ia satu perkembangan yang sihat kepada parti PAS dalam usaha mengarusperdanakan gerakannya, menyeluruh yang tidak hanya diminati dan disertai oleh golongan tertentu sahaja. Perkembangan ini dilihat sangat pesat, PAS menghayun tangan menyusun langkah setapak demi setapak mara ke hadapan. Kelompongan-kelompongan yang terdapat pada PAS sedikit demi sedikit mula ditampung.

Kalau suatu ketika dahulu PAS pernah dilabelkan sebuah parti kampungan yang diwakili kelompok yang minoriti, primitiv, konservatif, kurang daya saing dan pelbagai dakwaan lagi. Namun kini PAS sudah punya kredibiliti dan identitinya tersendiri yang kian diminati. Malahan telah memiliki sejuta keahlian yang pelbagai latar belakang. Kini, PAS mula disegani dan dihormati lawan atau pun kawan. Rebranding dan engegement yang dilakukan oleh PAS dilihat tepat pada waktunya.

Tidak dinafikan impak pengaruh artis kepada golongan muda sangat kuat, dan PAS sebuah gerakan islah dan dakwah sebenarnya masih ketandusan artis yang betul-betul berpengaruh besar dan punya fikrah yang jelas untuk membimbing golongan remaja ke arah yang sepatutnya, hal ini merupakan sebahagian daripada kekurangan yang masih ada pada PAS. Apabila ada artis menyertai PAS, mereka akan dilihat seolah-olah sudah insaf dan bertukar watak daripada artis kepada seorang ustaz, lalu mula jadi canggung dan kekok untuk didekati. PAS perlu berani menghadapi hal ini dan mesti memiliki mekanisma dan pendekatan untuk mengatasi mentalilti seumpama ini.

Apabila keahlian menjadi semakin ramai, sudah pasti akan ada dari kalangan yang menyertai PAS bukan atas dasar kesedaran atau yang bersifat aqidi. Cabaran yang terpakasa dihadapi oleh PAS ialah risiko terdedah kepada budaya dan aktiviti yang kurang sihat daripada ahlinya sendiri jika tiada pengawalan yang betul-betul bersepadu. Usaha untuk melahirkan figura yang memiliki saduran fikrah perjuangan PAS perlu digiatkan, guna untuk mengimbangi kebanjiran ahli yang menyertai PAS serta mendepani golongan non muslim yang semakin ramai menunjukan minat mereka terhadap PAS.

Entiti agamawan yang professional merupakan kelompok teras kepada Parti PAS. Diletakkan sebagai arkitek penting dalam kerangka hiraki parti PAS. Secara khususnya, kelompok Mahasiswa perlu menyedari tentang perkara ini. Mereka seharusnya Cakna dan serius mempersiapkan diri ke arah itu, supaya kelak mereka layak untuk mengisi front-front penting dalam organisasi PAS. Dalam usaha untuk memastikan PAS sebuah gerakan Islam yang sentiasa dilihat semasa dan kontemporari mendepani massa.

Ahad, 12 April 2009

Azhari Diuji Dengan Tidur

Hidup adalah sebuah ujian. Manusia tidak boleh lari daripada diuji. Secara khususnya, mereka yang mengaku beriman tidak akan sunyi daripada diuji oleh Allah s.w.t. Diuji untuk memastikan adakah benar-benar beriman atau sebaliknya. Penarafan iman seseorang hamba diukur berdasarkan kepada menang atau kalah apabila diuji Allah s.w.t.

Lain rumput lain belalangnya. Lain manusia lain pula ujianya. Namun, azhari di Mesir seolah-olah kesemuanya diuji dengan perkara yang sama iaitu rasa tidur yang menyedapkan. Mengatasi sedap makan diwaktu lapar, Nyenyak, lena dan puas sekali, nikmatnya tidak sama dengan apa yang dirasai ketika mana tidur di tanah air sendiri.

Di Negara Mesir terasa mudah sekali diserang rasa mengantuk lebih-lebih lagi waktu di awal pagi. Kalau tidur dalam tempoh yang lama pula tidak menyakitkan kepala. Oh, sungguh membarah. Tetapi tidaklah kesemuanya tewas dengan ujian ini, bahkan ramai pula yang telah berjaya menyusun jadual tidur atau rehatnya dengan baik. Yang berjaya bersyukurlah yang gagal perlu disimpatikan.

Tidur dalam tempoh yang lama semestinya akan membataskan waktu kehidupan untuk aktiviti-aktiviti lain. Sebagai seorang tolibul ilmi, kalau tidur sudah sampai ke tahap yang melampau melebihi hingga ke sepuluh jam dan ke atas dalam sehari, jelas ia satu kerugian malahan satu kezaliman. Rugi dan zalimi diri sendiri.

Allah s.w.t bersumpah dengan masa dalam surah al A’sr. Kesemua ayat-ayat suci al Quran adalah penting. Penting kerana ianya kalam Allah dan mukjizat agung kepada Baginda s.a.w. Namun kepentinganya akan berganda bilamana dimulakan satu-satu ayat itu dengan sumpahan. Dikaitkan pula sumpah masa dengan kerugian.

Ashabul Kahfi mereka ditidurkan oleh Allah s.w.t dalam tempoh yang cukup lama. Disebut oleh Allah s.w.t sendiri di dalam surah al Kahfi selama tiga ratus sembilan tahun. Ulama menyebut tiga ratus tahun genap kalau mengikut perkiraan bulan Hijri. Manakala tiga ratus sembilan tahun mengikut perkiraan bulan Masihi.

"Ashabul Kahfi ditidurkan oleh Allah s.w.t
kerana kemuliaan mereka,

mulia kerana mereka beriman kepada Allah s.w.t

dengan keimanan yang solid".


Ashabul Kahfi ditidurkan oleh Allah s.w.t kerana kemuliaan mereka, mulia kerana mereka beriman kepada Allah s.w.t dengan keimanan yang solid. Menolak syirik yang ditaja oleh pemerintah yang zalim di zaman mereka. Kisah mereka diabadikan di dalam al Quran dan kekal hingga ke akhir zaman. Mencari kemuliaan lalu mereka ditidurkan, bukan mencari kemuliaan denan tidur yang berpanjangan.

Tidur para alim ulama adalah kerana ibadah, tidur untuk rehatkan badan demi untuk mendapatkan tenaga baru. Lihat bagaimana Imam as Syafie menyusun waktu tidunya, hanya satu pertiga daripada waktu malamya diperuntukkan untuk tidur, satu pertiga untuk ibadah dan satu pertiga lagi untuk tujuan ilmu.

Mudah-mudahan kita tidak akan tertewas lagi dengan ujian tidur ini. Kita harus merancang waktu tidur masing-masing agar ianya tidak sampai ke tahap yang tidak sepatutnya. Kita datang ke Mesir untuk menjadi ahli ilmu bukan ahli tidur. Mujahadahlah melawan kesedapan tidur dengan kepayahan menuntut ilmu, kelak kita akan mendapat kebahagian kerana kepayahan tersebut.


Muhasabah Separuh Penggal telah berjaya dilaksanakan. Namun agenda perjuangan di atas platform persatuan masih banyak yang gagal dilaksanakan. Pada majlis tersebut, ahli telah memainkan perananya sebagai cerminan kepada kepimpinan DPMT. Beberapa kelemahan yang mungkin kurang disedari oleh kepimpinan telah didedahkan oleh ahli. Ada signal amaran yang telah dipasang oleh ahli dan perlu diambil perhatian segera oleh pihak AJKT.

Secara umumnya, Muhasabah Separuh Penggal telah berjaya merialisasikan matlamat perlaksanaanya. Dilaksanakan atas tujuan untuk saling bermuhasabah. Pada malam itu muhasabah tidak hanya berlaku di sebelah pihak sahaja, daripada ahli kepada pimpinan. Bahkan, ada daripada kalangan ahli yang turut memuhasabah ahli yang lain. Mudah-mudahan ianya akan memomentumkan rasa sedar dan mahu berubah baik di pihak kepimpinan mahupun ahli.

Ada banyak isu yang telah ditimbulkan. Namun, perihal ziarah AJKT ke rumah ahli mungkin antara yang paling popular kerana dilihat telah berjaya membangkitkan responbiliti ahli. Ada Mahasiswa senior bangkit menyatakan bahawa kepimpinan DPMT dua tiga tahun kebelakangan ini agak kurang melaksanakan tugas ziarah ke rumah ahli, jika hendak dibandingkan dengan kepimpinan di zaman awal kedatangan beliau ke Mesir suatu ketika dahulu. Namun bangkit pula Mahasiswa tahun satu, berhujjah mengatakan ahli di Tanta yang seramai lima ratus orang dengan bilangan rumahnya hampir mencecah seratus empat puluh buah rumah, sudah tentu tidak menang tangan untuk dilaksanakan oleh pihak AJKT.


Di akhir sesi saya telah diberi peluang oleh pengerusi DPMT untuk membuat beberapa ulasan. Sekali lagi saya cuba menarik perhatian public terhadap isu ini. Di spage ini, saya akan singkap kembali beberapa poin yang telah saya sebutkan pada malam itu, dengan penambahan huraian.

AJKT harus berlapang dada menerima teguran tersebut kerana itu hakikat kelemahan yang berlaku dan berhajat kepada perubahan. Pada saya, ahli yang ramai dan rumah yang banyak bukanlah alasan yang konkrit untuk menafikan AJKT sampai ke rumah ahli. Mekanisma perlaksanaannya boleh difikir untuk mengatasi masalah tersebut. Setidak-tidaknya sekali untuk satu sesi.

Dikesempatan itu, saya mengambil peluang mengajak sidang hadirin supaya sama-sama memandang isu ini dengan pendangan yang lebih neutral dengan membuang persepsi isu ini adalah isu diantara ahli dengan pimpinan. Sebaliknya, cuba melihat bahawa isu ‘ziarah’ adalah isu kita, kita semua selaku mahasiswa al Azhar. Kini, ziarah dilihat bukan suatu amalan yang subur di kalangan kita, hambar dan ramai pula yang memandang sepi. Kepincangan yang berlaku adalah melibatkan ahli kebanyakan. Ziarah bukan semata-mata tanggungjawab pemimipn terhadap ahli, bahkan juga tanggungjawab ahli kepada pemimpin dan ahli sesama ahli. Jika post kepimpinan menjadi sandaran kepada amalan ziarah, apakah halnya yang akan berlaku kepada kita nanti sebagai seorang duat, jika kita tidak punya jawatan dan pangkat kepimpinan?

Amalan ziarah merupakan sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang agung. Pula bukan sedikit fadhilat dan ganjaranya. Menjadi uslub dan senjata ampuh kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam penyebaran risalahNya. Dalam at tarikh telah mencatatkan bahawa lorong-lorong di Kota Makkah tiada satu pun yang tidak pernah dilalui oleh Nabi Muhammad.S.A.W. Tidak peliklah mengapa gerakan Ikhwan Muslimun berjaya mencetuskan satu era baru di lapangan dakwah, kerana ahli-ahlinya telah dilatih supaya menasimilasikan amalan murni ini. Sehinggakan Imam Hassan al Banna sendiri pernah ‘berziarah’ ke sebuah Pub dalam ekspidisi dakwah beliau.

Ternyata ziarah merupakan seni, bakat dan tadhiyyah. Lalu ianya perlu digilap dan diasah. Jika kita sesama azhari yang miliki kecenderungan yang sama, sebaris usia dan punya banyak lagi persamaan pun dah berasa kekok, malu, malas, lagi dan lagi. Bagaimanalah pula agaknya yang akan berlaku kepada azhari dan amalan ziarah masing-masing bila pulang ke tanah kelak? Muhasabah saya dan anda semua.

Amalan ziarah merupakan tugas asasi bagi setiap azhari. Kita tidak boleh lari daripanya. Kita golongan terpelajar, pula belajar agama. Ada sesuatu dalam pengetahuan kita yang menjadi amanah untuk disampaikan. Menyampaikan bukan menunggu sehingga diminta untuk menyampaikan. Tabiat bagi seorang daie perlu mendatangi bukan didatangi.
Kita adalah duat penyampai kalam-kalam kebenaran kepada ummah.

26 Mac 2009 mencatatkan satu lagi sejarah penting buat PMRAM dan seluruh ahlinya kerana telah berjaya melaksanakan Muktamar Sanawi kali ke 76. Muktamar Sanawi atau Ijtima’ Umumi satu nama yang cuba dipopularkan kembali kepada seluruh ahli merupakan simbol dan bukti penting betapa nilai keutuhan kesatuan yang telah berjaya di bina oleh PMRAM.

As syahid Imam Hassan al Banna pernah meyebutkan bahawa “Saya sentiasa berharap supaya kita sentiasa bekerja dan tidak perlu bercakap. Kita serahkan tindakan kita sahaja sebagai juru cakap yang menceritakan siapakah Ikhwan dan apakah strategi Ikhwan. Namun saudara mahukan program seperti ini. Tidak salah program seumpama ini untuk kita bentangkan segala program kita. Kita semak segala tindakan kita yang telah lalu.Kita kemaskan setiap fasa perjalanan kita” Ucapan Dasar beliau di Muktamar kali kelima Ikhwan Muslimun.

Nilai 1

Syabas diucapkan kepada pihak kepimpinan PMRAM kerana masih konsisten dengan konsep muhasabah dan musyawarah, mudah-mudahan dengan pengamalan sunnah yang mula dirintis oleh Nabi Muhammad S.A.W ini akan membawa rahmat dan berkat yang berterusan kepada perjuangan PMRAM di bumi Anbiya ini. Tersurat di dalam Sunnah Nabawi bahawa Nabi Muhammad S.A.W merupakan insan yang paling acap bermusyawarah dengan para Sahabat Baginda sebelum memutuskan satu-satu ketetapan.

Nilai 2

Ruang dan peluang yang diberikan kepada ahli pada Muktamar Sanawi untuk bertanya, melontarkan pandangan, berbahas, bahkan untuk mengkritik merupakan bukti ketelusan dan keterbukaan PMRAM. Malahan ianya dilihat sangat positif kepada pembangunan PMRAM itu sendiri melalui proses chek and ballence timbang tara diantara ahli dengan kepimpinan. Sayyidina Abu Bakar R.A berucap ketika mana beliau ditabal menjadi khalifah وان أخطأت فقوموني اذا أحسنت فأعينوني
Sekiranya aku benar maka maka bantulah diriku, sekiranya aku melakukan kesilapan maka tegurlah kesilapanku

Nilai 3

Kehadiran melebihi 700 orang yang berjaya dikumpulkan melalui penyertaan setiap DPM dan BKAN merupakan catatan rekod buat PMRAM. Ijtima’ Umumi yang berjaya mengumpul jumlah ahli yang seramai itu, berpaksikan kepada komitmen yang sama sepastinya akan menggamit signifikan Ukhuwah Islamiyah . Perkumpulan yang menjadi ruang untuk saling bertemu mata dan bertegur sapa sudah pasti akan memugar rasa mahabbah dan solidariti dikalangan ahli. PMRAM dan seluruh ahlinya bagaikan mendapat satu ‘tonik’ baru dengan berijtima’. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Nilai 4

Ijtima’ Umumi pada kali ini telah menerima empat usul yang telah diputuskan secara bersama. Tiga daripadanya diterima sebulat suara dan satu lagi melalui proses pengundian. Keempat-empat resolusi usul tersebut perlu digagaskan bersama disepanjang pentadbiran PMRAM pada tahun ini. Tidak wajar jika bebanan usul tersebut hanya dipundakkan ke atas bahu kepimpinan semata. Ironisnya, inilah sebenarnya nilai yang hendak diterapkan dalam kehidupan berjemaah iaitu wehdatul fikr wehdatu amal. Kunci keampuhan umat Islam yang pasti tidak mampu lagi diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa PMRAM merupakan sebuah kilang yang mampu mengeluarkan figura-figura yang tegar berjuang untuk Islam. Hal inilah yang menyebabkan musuh-musuh PMRAM sentiasa menyimpan hasad malahan ada yang bersikap biadap mengusulkan agar PMRAM diharamkan.

Mudah-mudahan Ijtima’ Umumi menjadi asbab kepada PMRAM untuk terus menjadi sebuah pertubahan yang terpandu melalui panduan Ilahi.

Hidup PMRAM


Pengalaman pertama menjadi seorang pengurus pasukan bola sepak sebenarnya sesuatu yang mengujakan. Kepercayaan yang diberi untuk merencanakan sebuah komuniti bola sepak dengan matlamat untuk mengembalikan Piala Kejuaraan suatu prospek yang cukup menarik. Ternyata ianya telah memahatkan suatu kenangan manis, khususnya kepada mereka yang telibat secara lansung apabila pasukan bola sepak DPM Tanta atau sinonim dengan jolokan nama Fursan Tantawi telah berjaya meralisasikannya.

Pada awalnya saya lansung tidak punya hasrat dan cita-cita untuk menjadi pengurus pasukan, menyedari banyak masa yang perlu dihabiskan kerananya. Lagi pula daripada menjadi seorang pengurus yang barang pasti tiada posisi yang boleh dibarisi dalam kesebelasan, lebih baik menjadi pemain terus. Lebih-lebih lagi saya merasakan menjadi pemain Fursan Tantawi sudah sebati dengan jiwa saya. Sudah tiga kepingan medal yang boleh dikoleksikan sepanjang saya bersama Fursan Tantawi.

Namun atas permintaan kawan-kawan khususnya para pemain, saya gagahi juga walau berasa di berat hati. Diruangan ini bukanlah kisah seorang pengurus bola sepak yang hendak dihighlightkan kerana saya merasakan ada topik lain yang lebih penting hendak dikongsikan.

Isunya ialah sukan Bola Sepak merupakan medan dakwah yang cukup lumayan. Sebagaimana perkara-perkara lain juga, jika dipandang dari sudut dan perspektif dakwah atas kapasiti dan kesedaran seorang daie, maka disana kita akan nampak ada saja ruang dan peluang yang boleh dimainkan. Namun pada saya, sukan bola sepak sangat signifikan kerana lapangannya sangat luas, potensinya cukup besar, dan sasarannya sangat ramai.

Contohnya mudah, jelas dan nyata. Tinjaun dari sudut bilangan. Sukan bola sepak Piala Presiden baru-baru ini berjaya menggumpulkan penyertaan sebanyak 22 pasukan. Setiap pasukan diwakili seramai 18 orang pemain termasuk jurulatih dan pegawai Jika didarab dengan jumlah penyertaan maka bilanganya adalah seramai 396 orang. Tidak termasuk penyokong dan orang kebanyakan lain yang turut hadir.

Ternyata dengan jumlah yang sebesar itu pasti sahaja ada tugas penting yang perlu dilaksanakan. Bukan mudah untuk mengumpulkan khalayak yang seramai itu dalam satu-satu program. Namun jika tiada sebarang anisiatif yang diambil bagi memanfaatkan peluang lumayan yang telah terhidang, saya kira kita telah meninggalkan satu juzuk penting untuk menyampaikan maudu’ dakwah. Para daie perlu sentiasa peka dengan kerjanya untuk mengkuantitikan golongan yang berkualiti.

Maksud berdakwah di sini ialah kita belajar menjadi seorang daie yang tugasnya ialah berdakwah. Tidak kira walau kita berada diposisi mana sekalipun. Sama ada para pemain, penyokong, pengurus dan siapa sahaja, masing-masing boleh berperanan Di sinilah tempatnya untuk kita belajar buat kerja-kerja dakwah demi untuk menajamkan kemahiran dan kemampuan berdakwah masing-masing agar tidak kekok mengaplikasikannya bila berada di gelanggang sebenar nanti.

Saya tidak bermaksud untuk menstatuskan para pemain Piala President baru-baru ini sebagai golongan ‘bermasalah’ yang perlu disampaikan risalah dakwah, sebaliknya sebagai analogi sahaja kepada golongan yang mahu sedar bahawa di sana ada bilik darjah yang sedia mengajar subjek dakwah kepada sesiapa sahaja yang berminat. Saya melihat sukan bola sepak akan tetap menguji para azhari sejauh manakah kekentalan iman perjuangan mereka bila pulang ke pangkuan ummah nanti. Jangan pula kita menjadai sebahagian daripada mereka yang akan meramaikan lagi bilangan azhariyyun yang mengaku kalah sebelum turun berjuang.

Justeru, saya menyeru kepada semau pengamal bola sepak dari kalangan azhariyyun samada mereka para pemain atau peminat sukan nombor satu dunia ini untuk sama-sama kita melihat objek bulat itu yang menjadi kegilaan ramai orang dengan pandangan seorang daie. Sesungguhnya aktiviti-aktiviti sukan di Malaysia bola sepak khususnya memerlukan banyak pengislahan. Kalau bukan kita nak diharapkan kepada siapa lagi?

Benar dakwaan yang mengatakan bahawa kegersangan yang berlaku dalam melaksanakan tugasan dakwah adalah kerana kekontangan ilmu dan skil untuk berdakwah. Justeru, mengharapkan semoga diberi taufiq oleh Allah s.w.t, kerana kita semua adalah DAIE.