Selasa, 14 April 2009

Apabila Artis Sertai Parti Islam

Berita penyertaan artis secara rasmi ke dalam parti PAS bukan isu yang asing lagi. Seorang demi seorang telah mengambil tindakan berani dengan mengisyitiharkan penyertaan mereka ke dalam PAS, sebuah parti pembangkang di Tanah Air. Malahan ada daripada kalangan mereka yang berani menampilkan diri untuk beraksi di pentas sama ada dengan berceramah atau berkonsert atas platform PAS.

Terbaru ialah vokalis kumpulan rock Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membut kejutan apabila secara sah menyertai PAS. Sempena program yang bertemakan 'Jom Sertai PAS', Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri di atas pentas sebelum majlis tersebut berakhir.

Ternyata ia satu perkembangan yang sihat kepada parti PAS dalam usaha mengarusperdanakan gerakannya, menyeluruh yang tidak hanya diminati dan disertai oleh golongan tertentu sahaja. Perkembangan ini dilihat sangat pesat, PAS menghayun tangan menyusun langkah setapak demi setapak mara ke hadapan. Kelompongan-kelompongan yang terdapat pada PAS sedikit demi sedikit mula ditampung.

Kalau suatu ketika dahulu PAS pernah dilabelkan sebuah parti kampungan yang diwakili kelompok yang minoriti, primitiv, konservatif, kurang daya saing dan pelbagai dakwaan lagi. Namun kini PAS sudah punya kredibiliti dan identitinya tersendiri yang kian diminati. Malahan telah memiliki sejuta keahlian yang pelbagai latar belakang. Kini, PAS mula disegani dan dihormati lawan atau pun kawan. Rebranding dan engegement yang dilakukan oleh PAS dilihat tepat pada waktunya.

Tidak dinafikan impak pengaruh artis kepada golongan muda sangat kuat, dan PAS sebuah gerakan islah dan dakwah sebenarnya masih ketandusan artis yang betul-betul berpengaruh besar dan punya fikrah yang jelas untuk membimbing golongan remaja ke arah yang sepatutnya, hal ini merupakan sebahagian daripada kekurangan yang masih ada pada PAS. Apabila ada artis menyertai PAS, mereka akan dilihat seolah-olah sudah insaf dan bertukar watak daripada artis kepada seorang ustaz, lalu mula jadi canggung dan kekok untuk didekati. PAS perlu berani menghadapi hal ini dan mesti memiliki mekanisma dan pendekatan untuk mengatasi mentalilti seumpama ini.

Apabila keahlian menjadi semakin ramai, sudah pasti akan ada dari kalangan yang menyertai PAS bukan atas dasar kesedaran atau yang bersifat aqidi. Cabaran yang terpakasa dihadapi oleh PAS ialah risiko terdedah kepada budaya dan aktiviti yang kurang sihat daripada ahlinya sendiri jika tiada pengawalan yang betul-betul bersepadu. Usaha untuk melahirkan figura yang memiliki saduran fikrah perjuangan PAS perlu digiatkan, guna untuk mengimbangi kebanjiran ahli yang menyertai PAS serta mendepani golongan non muslim yang semakin ramai menunjukan minat mereka terhadap PAS.

Entiti agamawan yang professional merupakan kelompok teras kepada Parti PAS. Diletakkan sebagai arkitek penting dalam kerangka hiraki parti PAS. Secara khususnya, kelompok Mahasiswa perlu menyedari tentang perkara ini. Mereka seharusnya Cakna dan serius mempersiapkan diri ke arah itu, supaya kelak mereka layak untuk mengisi front-front penting dalam organisasi PAS. Dalam usaha untuk memastikan PAS sebuah gerakan Islam yang sentiasa dilihat semasa dan kontemporari mendepani massa.

0 ulasan: