Sabtu, 25 April 2009

Keluarga Aqidi

Jumaat, 28 Rabiul Akhir 1430 Hijrah merupakan malam terakhir usrah bermanhaj kami untuk fasa ini. Ditawaqqufkan seketika untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan yang bakal tiba. Rasa sedih pula untuk berpisah dengan liqa mingguan ini. Namun naqib kami Ust Nik Syahir menyatakan Insya Allah jika tiada aral kita akan teruskan juga pertemuan diminggu-minggu mendatang walau atas nama amali dan bukan ‘bermanhaj’.

Rasanya saya dan kami berhak berbangga dengan kelangsungan usrah yang telah sama-sama dijayakan pada tahun ini. Setakat malam itu, sudah dua puluh kali kami bertemu untuk berusrah. Walaupun dari sudut kualiti perlaksanaanya dirasakan masih banyak yang perlu ditingakatkan, namun kami tidak boleh menolak bahawa apa yang telah kami lalui bersama sebenarnya bukanlah sesuatu yang sangat lemah apatah lagi gagal, bahkan ianya merupakan sesuatu yang menarik dan semakin menarik.

Sungguh, kadang-kadang terbit perasaan lemah untuk menghadiri usrah, lebih-lebih lagi diketika gagal untuk melangsaikan beban taklifan dengan sempurna, ataupun dikala jadual usrah bertembung dengan komitmen lain dan terpaksa pula mengorbankan salah satu satu daripada dua pioriti tersebut. Lalu futur menerjah perasaan.

Kami ahli seusrah sangat memahami bahawa kami semua dalam proses pembinaan, membina sebuah kejayaan dalam berusrah. Semakin berusrah semakin lebat membungakan perasaan, sikap, cara dan fikrah kami secara kolektif. Setiap episod pertemuan makin mencambahkan peningkatan dan perkembangan positif kepada usrah kami, terutama dari sudut ukhuwwah dan ilmu. Rukun-rukun usrah dirasakan kian dekat digapai. Cuma masa sahaja yang akan menentukannya.

Saya cukup yakin dengan anugerah kemanisan yang bakal diperolehi bila komited dengan usrah, namun saya sendiri masih gagal sebenarnya untuk menyingkap hakikat kemanisan tersebut. Tidak pasti dimanakan sebenarnya terletak inti kemanisan tersebut, adakah ketika membentang, mendengar perbentangan, ilmiahnya, atau di akhir sesi ketika kami boleh makan bersama, atau pada pertemuan itu sendiri, atau mungkin juga disebabkan oleh kesemua faktor-faktor tersebut yang telah memahatkan rasa manis apabila berusrah. Oh sangat subjektif.

Benar, usrah merupakan sunnah yang pernah dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat dari kalangan assabiqun al awwalun di rumah al Arqam Abi al Arqam. Pun begitu, mungkin dari sudut perjalanaa usrah yang didapati pada hari ini tidak sama lagi dengan apa yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad s.a.w, apatah lagi kalau hendak dinilai dari sudut ruh dan ‘spirit’nya. Namun dari sudut hadaf perlaksanaanya tetap tidak lari daripada apa yang telah diasaskan oleh nabi Muhammad s.a.w. Malahan menjadi kewajipan kepada pengamal-pengamal usrah untuk memastikan piawaian sebuah usrah sentiasa menepati.

Pengamatanku, usrah hanya akan berjaya jika dipaksikan di atas asas keikhlasan, semangat ukhuwwah Islamiah dan komitmen. Sebagaimana usrah juga tidak akan berjaya mencapai hadafnya jika perlaksanaanya dibayangi dengan sikap hipokrik dan retorik.

Sarananku, Manfaatkanlah masa berkelana anda di bumi anbia’ ini dengan aktiviti usrah. Binalah ilmu dan pengalaman anda melaluinya. Ada unsur pembentukan syakhsiyyah diri dalam berusrah. Usrah juga boleh dieksploitasi sebagai sebuah komuniti yang kritikal menjana sebuah dakwah, tarbiah dan ilmu-ilmu Islam kepada ummah.

0 ulasan: