Ahad, 12 April 2009

Azhari Diuji Dengan Tidur

Hidup adalah sebuah ujian. Manusia tidak boleh lari daripada diuji. Secara khususnya, mereka yang mengaku beriman tidak akan sunyi daripada diuji oleh Allah s.w.t. Diuji untuk memastikan adakah benar-benar beriman atau sebaliknya. Penarafan iman seseorang hamba diukur berdasarkan kepada menang atau kalah apabila diuji Allah s.w.t.

Lain rumput lain belalangnya. Lain manusia lain pula ujianya. Namun, azhari di Mesir seolah-olah kesemuanya diuji dengan perkara yang sama iaitu rasa tidur yang menyedapkan. Mengatasi sedap makan diwaktu lapar, Nyenyak, lena dan puas sekali, nikmatnya tidak sama dengan apa yang dirasai ketika mana tidur di tanah air sendiri.

Di Negara Mesir terasa mudah sekali diserang rasa mengantuk lebih-lebih lagi waktu di awal pagi. Kalau tidur dalam tempoh yang lama pula tidak menyakitkan kepala. Oh, sungguh membarah. Tetapi tidaklah kesemuanya tewas dengan ujian ini, bahkan ramai pula yang telah berjaya menyusun jadual tidur atau rehatnya dengan baik. Yang berjaya bersyukurlah yang gagal perlu disimpatikan.

Tidur dalam tempoh yang lama semestinya akan membataskan waktu kehidupan untuk aktiviti-aktiviti lain. Sebagai seorang tolibul ilmi, kalau tidur sudah sampai ke tahap yang melampau melebihi hingga ke sepuluh jam dan ke atas dalam sehari, jelas ia satu kerugian malahan satu kezaliman. Rugi dan zalimi diri sendiri.

Allah s.w.t bersumpah dengan masa dalam surah al A’sr. Kesemua ayat-ayat suci al Quran adalah penting. Penting kerana ianya kalam Allah dan mukjizat agung kepada Baginda s.a.w. Namun kepentinganya akan berganda bilamana dimulakan satu-satu ayat itu dengan sumpahan. Dikaitkan pula sumpah masa dengan kerugian.

Ashabul Kahfi mereka ditidurkan oleh Allah s.w.t dalam tempoh yang cukup lama. Disebut oleh Allah s.w.t sendiri di dalam surah al Kahfi selama tiga ratus sembilan tahun. Ulama menyebut tiga ratus tahun genap kalau mengikut perkiraan bulan Hijri. Manakala tiga ratus sembilan tahun mengikut perkiraan bulan Masihi.

"Ashabul Kahfi ditidurkan oleh Allah s.w.t
kerana kemuliaan mereka,

mulia kerana mereka beriman kepada Allah s.w.t

dengan keimanan yang solid".


Ashabul Kahfi ditidurkan oleh Allah s.w.t kerana kemuliaan mereka, mulia kerana mereka beriman kepada Allah s.w.t dengan keimanan yang solid. Menolak syirik yang ditaja oleh pemerintah yang zalim di zaman mereka. Kisah mereka diabadikan di dalam al Quran dan kekal hingga ke akhir zaman. Mencari kemuliaan lalu mereka ditidurkan, bukan mencari kemuliaan denan tidur yang berpanjangan.

Tidur para alim ulama adalah kerana ibadah, tidur untuk rehatkan badan demi untuk mendapatkan tenaga baru. Lihat bagaimana Imam as Syafie menyusun waktu tidunya, hanya satu pertiga daripada waktu malamya diperuntukkan untuk tidur, satu pertiga untuk ibadah dan satu pertiga lagi untuk tujuan ilmu.

Mudah-mudahan kita tidak akan tertewas lagi dengan ujian tidur ini. Kita harus merancang waktu tidur masing-masing agar ianya tidak sampai ke tahap yang tidak sepatutnya. Kita datang ke Mesir untuk menjadi ahli ilmu bukan ahli tidur. Mujahadahlah melawan kesedapan tidur dengan kepayahan menuntut ilmu, kelak kita akan mendapat kebahagian kerana kepayahan tersebut.

0 ulasan: